SELANGOR

Naik taraf kemudahan sukan daerah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 DIS: Kemudahan sukan di daerah-daerah akan dinaik taraf bagi melahirkan lebih ramai atlet dan memberi peluang kepada masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.

EXCO Pembangunan Genarasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Khairuddin Othman berkata, perkara berkenaan juga antara sebahagian visinya untuk membudayakan aspek sukan dan hab anak muda.

“Walaupun sebagai sebuah negeri maju, tetapi fasiliti sukan masih perlu diperbaiki.

“Saya akan melihat bagaimana untuk membangunkan padang ringkas yang boleh digunakan untuk bola sepak di kampung-kampung.

“Kerajaan Negeri sentiasa memikirkan sesuatu yang baharu dan segar dalam merancang program sukan bagi komuniti sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian di Program Kit SUKSEL 2.0 ‘Kuminiti Cergas dan Sejahtera’ sempena Ambang Tahun Baru 2019, di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor dan Setiausaha Kelab SUK Selangor, Muhamad Faiz Mohamed Yusof.

Pada masa sama, Khairuddin turut mahu beliawanis untuk turut aktif dalam program sukan.

Katanya, pihaknya turut merangka program sukan khusus untuk golongan terbabit antaranya zumba, mendaki dan bola sepak.


Pengarang :