SUKANKINI

Penyokong harap Harimau Malaya bawa balik Piala AFF Suzuki

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 8 DIS: Kejayaan skuad Harimau Malaya mematikan langkah Thailand dalam perlawanan separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018 baru-baru ini, jelas memberi harapan besar kepada pasukan negara untuk menggenggam piala berkenaan dengan iringan doa dan sokongan padu seluruh rakyat Malaysia.

Malah, debaran buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu semakin hebat dirasai menjelang kunjungan Naga Emas, pada perlawanan akhir pertama, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan.

Tinjauan SelangorKini menerusi Twitter mendapati, rata-rata penyokong Malaysia turut merasai debaran sama, bahkan tidak kurang juga ada yang menyifatkan kemaraan itu membuka peluang untuk pasukan negara membawa pulang piala teragung, di rantau Asia Tenggara.

Pemilik akaun @apexgomez91 berharap, pasukan Harimau Malaya dapat menampilkan rentak permainan menarik pada perlawanan akhir nanti.

“Harapan aku kepada Harimau Malaya di final nanti supaya dapat mengekalkan corak permainan yang menarik sepanjang kempen Piala AFF Suzuki ni & bawa pulang piala ke pangkuan negara kita…Ayuh Malaysiaku, Kita Mesti Menang ! #AFFSuzukiCup #HarimauMalaya,” tulisnya.

Berkongsi harapan sama ialah @amirejat yang turut menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan pasukan negara untuk menjuarai piala itu, jika corak permainan baik dipamerkan sepanjang perlawanan.

“Harapan untuk perlawanan Final Piala AFF Malaysia vs Vietnam agar Malaysia dapat mempamerkan corak permainan yang baik untuk menjuarai Piala AFF Suzuki 2018 .. #deminalaysia #malaysiaku #HarimauMalaya #AFFSuzukiCup2018,” tulisnya.

Sementara bagi @shafiqcool_alip berkata, dia menaruh harapan tinggi supaya skuad Harimau Malaya beraksi penuh konsisten dan hebat bagi memburu gelaran pertama sejak 2010 selepas melangkah ke pusingan akhir buat kali keempat.

“Harap game Malaysia Vs Vietnam final kali ni gempak and (dan) dapat bawak (bawa) balik piala.. dah (sudah) lama tak bawak (bawa) balik piala,” tulisnya.

Terdahulu, skuad kebangsaan menempah slot ke perlawanan akhir berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan. untuk menentang Vietnam.

Untuk rekod, Malaysia tewas 0-2 di tangan Vietnam dalam aksi peringkat Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 16 November lalu.


Pengarang :