NASIONAL

Saya tidak pimpin PAKATAN menjelang PRU15-Tun M

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 10 DIS: Pakatan Harapan (PAKATAN) diyakini mampu mempertahankan pentadbirannya di Putrajaya, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun tidak lagi dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, perdana menteri itu berkata, kerajaan sedia ada hari ini perlu mengamalkan pentadbiran bebas rasuah jika mahu terus mendapat sokongan rakyat.

“Apabila datangnya PRU15 yang tidak lagi dipimpin saya, kita akan menang juga kerana kita bersih.

“Tetapi kalau kita kotor, perasuah, tidak peduli siapa jadi pemimpin, kita akan dikalahkan oleh rakyat dan ini harus kita ingat sepanjang masa bahawa tiada kebaikan daripada penerimaan wang atau sogokan haram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya pada Majlis Makan Malam Amal di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, malam tadi.

Dr Mahathir berkata, rakyat memilih PAKATAN pada PRU14 lalu apabila mendapati gabungan itu bersih daripada pengaruh rasuah.

Katanya, hal itu berbeza dengan Barisan Nasional yang memperlihatkan Perdana Menterinya, Datuk Seri Najib Razak menganggap wang sebagai raja.

“Malaysia perlu mengambil iktibar daripada negara di seluruh dunia bahawa hanya kerajaan bebas rasuah sahaja mampu menjadikannya maju,” katanya.


Pengarang :