Selangorkini
SELANGOR

Sultan: Bangga pencapaian ekonomi, jauhi rasuah dan pelihara alam sekitar

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 11 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah amat berbangga dengan pembangunan pesat ekonomi dicapai Selangor dan infrastruktur sehingga menjadi negeri termaju.

Baginda percaya kejayaan dicapai ini adalah hasil usaha cemerlang kerajaan, penjawat awam serta sumbangan rakyat yang bekerja di Selangor secara berterusan.

“Beta amat berharap agar segala kemajuan dan kemakmuran dicapai Selangor ini dapat berterusan dan pemimpin dan masyarakat dari semua peringkat dapat berkerjasama menjalankan tugas dengan penuh jujur serta keikhlasan.

“Para pemimpin negeri serta penjawat awam hendaklah sentiasa menitik beratkan etika kerja berlandaskan nilai murni dan kejujuran tinggi semasa menjalankan tugas diamanahkan kepada mereka,” titah Sultan.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Jamuan Hi-Tea Diraja Sempena Menyambut Ulang Tahun Keputeraan Ke-73 DYMM Sultan Selangor di Padang Mahkota, Istana Alam Shah.

Baginda turut menasihatkan pemimpin serta penjawat awam menjauhkan diri daripada terlibat dengan gejala rasuah.

“Gejala rasuah tidak boleh diambil mudah dan perlu ditangani hingga ke akar umbi. Gejala rasuah bukan sahaja melibatkan mereka yang menerima rasuah malah golongan yang memberi rasuah juga perlu ditangani agar ianya tidak menjadi satu budaya buruk yang menjadi amalan.

“Tiada erti kepada kemajuan sesebuah negara jika sikap pemimpin dan penjawat awam tidak amanah dan jujur dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” titah Sultan.

Sultan Sharafuddin turut berkenan menasihatkan Kerajaan Negeri supaya dapat menjamin kehijauan alam semulajadi terus terpelihara.

Baginda bertitah supaya Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Perhutanan dapat terus memelihara dan mengawal kawasan hutan simpan tidak dicerobohi dan tidak dimusnahkan untuk pembangunan.

“Dengan mengawal dan mengekalkan kawasan hijau, Beta percaya ianya dapat menjamin persekitaran yang sihat, bersih dan segar,” titah baginda.


Pengarang :