BERITA UTAMASELANGOR

Tengku Puteri Nor Zehan dahului senarai 188 penerima pingat Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-73 DYMM Sultan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 11 DIS: Tengku Puan Panglima Perlis, Tengku Puteri Nor Zehan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mendahului senarai 118 penerima anugerah Istiadat Pengurniaan Darjah Dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan Sempena Menyambut Ulang Tahun Keputeraan Ke-73 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda menerima anugerah tertinggi Selangor, Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK II) pada istiadat yang berlangsung di Balai Rungseri, Istana Alam Shah.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Zulkifli Zainal Abidin pula dianugerahkan darjah kelas pertama iaitu Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Dato’ Seri kepada lelaki dan Datin Paduka Seri kepada wanita.

Turut menerima SPMS ialah Peguam Cara Negara II, Datin Paduka Zauyah Be T Loth Khan dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) yang membawa gelaran Dato’ Setia kepada lelaki dan Datin Paduka Setia kepada wanita dianugerahkan kepada Tengku Puan Indera Setia Selangor, Tunku Irinah Tuanku Jaafar; Ahli Dewan Diraja Selangor, Datuk Salehuddin Saidin dan Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Lim Ah Lek @ Lim Mok Siang.

Seramai sembilan penerima dianugerahkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Dato’ bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita.

Mereka ialah Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany; Panglima 11 Briged ATM, Briged Jeneral Dr Mohd Radzi Abdul Hamid; Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dan Pengarah Touch Group Holdings Sdn Bhd, Tengku Datuk Muhamad Mazlan Tengku Putera Zainal Abidin @ Tengku Sri Aria Raja.

Turut dianugerahkan DPMS adalah Pegawai Daerah Petaling, Roslinah Md Jani; Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor, Muhammad Ridzuan Arshad; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Mohd Sayuthi Bakar serta Profesor Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM, Prof Dr Mohd Ali Hassan.

Penerima Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang membawa gelaran Dato’ bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita dimulakan dengan Panglima Pasukan Khas Laut (PASKAL)Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Anuar Alias; Pengerusi Antara Holiday Villas Sdn Bhd, Tan Sri Azman Shah Haron; Ketua Eksekutif Cancer Research Malaysia, Prof Dr Teo Soo Hwang; Dekan Fakulti Perubatan Veterina UPM, Prof Dr Mohd Hair Bejo dan Ketua Pegawai Eksekutif, TH Travel & Services Sdn Bhd, Dato’ Mohd Khalid Mohd Noordin.

Penerima DSIS lain ialah Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Abd Hamid Hussain; Ketua Delegasi Pasukan Singapura (Piala Sultan Selangor), Teo Hock Seng; Dekan Fakulti Komunikasi HELP University, Dr Khairuddin Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Pendidikan dan Penjagaan Kesihatan Kumpulan Sunway, Dr Lee Weng Keng dan Pengarah Eksekutif Teknikal dan Pengeluaran Nestle Philippines, Adnan Hisham Pawanteh.

Baginda turut berkenan menganugerahkan Ahli Kegemilangan Sukan Selangor (AKS) kepada lima atlet negara iaitu atlet Bowling Padang, Sarjan Emma Firyana Saroji; Farhan Adam (Sepak Takraw); Amy Kwan Dict Weng (Gimrama); Muhammad Faizul M Nasir (Pencak Silat) dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (Tenpin Bowling).

Sementara itu, masing-masing seramai 15 penerima dianugerahkan Darjah Kebesaran-Setia Mahkota Selangor (SMS) dan Darjah Kebesaran Setia-Sultan Idris Shah (SIS).

Seramai 22 penerima dianugerahkan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS), 21 penerima Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS), tiga penerima Bintang Kegemilangan Sukan Selangor (BKS) serta tujuh penerima bagi Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC).

Sultan Sharifuddin Idris Shah sebelum itu berkenan melakukan pemeriksaan perbarisan kehormat Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan disusuli 21 das letupan meriam bersempena Menyambut Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-73.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut menyampaikan Ucapan Sembah Taat Setia sambil diapit dua EXCO; Hee Loy Sian mewakili kaum Cina dan V Ganabatirau mewakili kaum India.

Ia disusuli dengan Ucapan Sembah Taat Setia Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Indera Setia Selangor bagi mewakili Waris-waris dan Kerabat-kerabat Diraja, Ahli-ahli Dewan di-Raja, Orang-orang Besar Istana dan Orang-orang Besar Daerah sambil diapit Yang Amat Dihormati Tengku Seri Wangsa Diraja dan Yang Dimuliakan Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Kuala Langat.

Istiadat berakhir pada jam 11.50 pagi dengan bacaan doa Dato’ Mufti Negeri Selangor, Dato’ Seri Utama Mohd Tamyes Abd Wahid.


Pengarang :