PBTSELANGOR

MBPJ wujud aplikasi online semak kelulusan lesen

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 DIS: Kini peniaga boleh menyemak kelulusan lesen hanya di hujung jari apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mewujudkan sebuah aplikasi bagi memudahkan peniaga.

Pengarah Jabatan Pelesenan MBPJ, Sharinaz Samsudin berkata, beliau tidak menafikan proses menyemak lesen perniagaan memakan masa sekiranya ada permohonan yang gagal memenuhi syarat.

 

“Pemohon terpaksa datang ke kaunter MBPJ hanya untuk diberitahu permohonan mereka telah ditolak kerana tidak memenuhi kriteria tertentu atau tidak mengemukakan dokumen yang diperlukan.

“Bagi saya ia adalah satu pembaziran masa untuk mereka pergi ke kaunter hanya untuk mengetahui mereka berjaya atau tidak, namun dengan adanya aplikasi yang diwujudkan ini, peniaga boleh semak kelulusan lesen sepantas kilat,” katanya.

Setakat ini, aplikasi yang dinamakan eLesen MBPJ itu boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play.

Sharinaz berkata, orang ramai juga boleh memeriksa status lesen perniagaan premis dengan mengimbas kod QR yang ditampal di pintu masuk kedai.

Katanya, melalui kod QR, pengguna dapat melihat butiran seperti nama dan alamat premis, jenis perniagaan yang dilesenkan untuk beroperasi serta ketulenan lesen.


Pengarang :