SELANGOR

118 penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan terima Notis 5A

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 26 JAN: Penantian hampir tiga dekad 118 penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan untuk menjadi pemilik tanah menjadi kenyataan apabila menerima notis 5A daripada Kerajaan Selangor, semalam.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pemberian itu membuktikan Kerajaan Negeri sekali lagi berjaya menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi rakyat Selangor.

Katanya, ia ekoran sebelum 2008, Kerajaan Negeri mendapati terlalu banyak tanah yang diduduki penduduk tidak mempunyai hak milik sah sehingga menyebabkan tiada pelan tersusun.

“Bermula pada 2008, Kerajaan Selangor berusaha membantu penduduk untuk mendapatkan hak milik tanah dan memberikan lot tanah kepada mereka, namun pada waktu itu bayaran premium dianggap terlalu tinggi kerana ada penduduk tidak mampu.

“Kerajaan Negeri sekali lagi membuat tawaran dengan meminta penduduk membuat bayaran RM1,000 termasuk caruman parit dan infrastruktur, sekali gus membolehkan tanah itu menjadi hak milik mereka.

“Walaupun ia mengambil masa agak lama, namun cita-cita Kerajaan Negeri yang mahu memastikan semua rakyat mendapat tempat selesa dan baik sudahpun tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah dan Notis 5A kepada penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan di Dewan Orang Ramai Kampung Delek, di sini.

Hadir sama, EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Soffan Affendi Aminudin.

Amirudin berkata, pemberian hak milik terbabit adalah antara aset bernilai ekoran harga tanah berbeza saban tahun.

Katanya, di sebalik harga tanah di Selangor meningkat dan tinggi, Kerajaan Negeri tetap meneruskan pemberian berkenaan walaupun jumlah premium agak besar.

“Pembangunan kemajuan bukanlah yang kita mahu kecapi semata-mata tetapi Kerajaan Negeri mahu memastikan rakyat mendapat hak mereka yang sepatutnya.

“Kita mampu melaksanakan program sebegini kerana Selangor mempunyai kepimpinan berintegriti,” katanya.


Pengarang :