Perkhidmatan ECRL menghubungkan negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Lembah Klang.
NASIONAL

Batal ECRL tidak jejas hubungan dengan China

KUANTAN, 26 JAN: Keputusan kerajaan memuktamadkan pembatalan kontrak dengan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang digantung pada Julai, tidak menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, hal itu kerana kerajaan sudah memberi gambaran berkenaan keputusan itu kepada kerajaan China semasa lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke negara itu, pada Ogos tahun lalu.

“Mereka memahaminya dan sebab itu bermula masa itu lagi, kita tumpu kepada usaha untuk menarik lebih ramai pelabur China ke kawasan pelaburan lain di negara ini termasuk Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Sehari Menyemai Bakti di Kampung Sungai Ular, di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Kenyataan itu bagi mengulas keputusan Kabinet minggu ini yang memuktamadkan pembatalan projek ECRL setelah mendapati kosnya terlalu besar serta di luar kemampuan kewangan kerajaan, buat masa ini.

Pada masa sama, Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata, bagi mengimbangi soal kekurangan peluang pekerjaan di daerah Kuantan khasnya ekoran pembatalan itu, pihaknya akan mempergiatkan usaha menarik pelabur China di MCKIP.

“Walaupun ECRL dibatalkan, namun kita tetap mahu meneruskan agenda untuk menjadikan Kuantan sebagai hab perindustrian Pantai Timur dan untuk tujuan itu kita akan beri tumpuan kepada pembangunan MCKIP.

“Setakat ini hanya satu tapak dibangunkan daripada tiga tapak yang disediakan di MCKIP dan satu tapak itupun hanya 25 peratus sahaja digunakan iaitu untuk membina kilang Alliance Steel. Kita masih banyak ruang untuk memajukannya.

“Kita juga masih mempunyai ruang yang besar di Pelabuhan Kuantan dan semua ini mampu menarik pelaburan baharu khususnya pelabur China dan ini fokus kita, ” katanya.

 


Pengarang :