SELANGOR

Berita pembinaan Lapangan Terbang Kuala Selangor palsu

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 8 JAN: Berita pembinaan Lapangan Terbang Kuala Selangor di laman Facebook ‘Hello Malaysia’ pada 1 Januari lalu adalah palsu.

Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) melalui kenyataan di laman Facebook rasmi memberitahu, pihaknya menerima pelbagai pertanyaan daripada orang awam mengenai hal terbabit.

“Untuk makluman, tiada permohonan secara rasmi daripada mana-mana pihak pemaju kepada MDKS untuk membangunkan projek mega tersebut.

“Sebarang pembangunan perlu merujuk terlebih dahulu kepada MDKS agar bertepatan dengan Rancangan Tempatan Majlis Daerah Kuala Selangor 2025 yang diwartakan sebagai panduan pembangunan daerah Kuala Selangor,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, melalui laman Facebook ‘Hello Malaysia’, admin kononnya memberitahu pihaknya menerima gambar peta perancangan pembangunan Lapangan Terbang Kuala Selangor yang bakal merubah landskap pembangunan di situ.

Tambah mengelirukan apabila pengendali laman sosial itu memaklumkan projek dijangka bermula dari 2019 dan bakal siap sepenuhnya pada 2028.

Gara-gara berita palsu terbabit, netizen membuat pelbagai spekulasi termasuk mengkritik tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).


Pengarang :