NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, seiring dengan pasaran lain serantau berikutan ketidaktentuan dalam pasaran global, menurut peniaga.

Pada 9.08 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.42 mata kepada 1,670.41 berbanding 1,675.83 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks dibuka 3.25 mata lebih rendah pada 1,672.58.

Kedudukan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 174 berbanding 54, manakala 129 kaunter tidak berubah, 1,511 tidak diniagakan dan 22 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 111.62 juta saham bernilai RM39.54 juta.

Seorang peniaga berkata, kebimbangan semakin meningkat terhadap perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang tidak berkesudahan telah menjejaskan pasaran global.

“Selagi ketegangan perdagangan antara kedua kerajaan ini berterusan, pasaran lain akan didagangkan secara tidak menentu dan turun naik,” katanya, lapor BERNAMA.

Menerusi notanya, Public Investment Bhd berkata jenama AS, Apple, mengunjurkan keadaan suram pada Rabu lalu dengan menyalahkan jualan tidak memberangsangkan iPhone di China dan buat julung kalinya mengeluarkan amaran jualan dalam tempoh 16 tahun.

“Langkah itu memberi kesan terhadap data yang menunjukkan pembuatan di China menguncup pada bulan lalu buat pertama kalinya sejak Mei 2017.

“Sementara itu, kebimbangan terhadap pertumbuhan global disahkan semalam, dengan laporan terkini daripada Institut Pengurusan Pembekalan AS, yang menunjukkan output kilang pada Disember tahun lalu bertambah pada kadar paling perlahan bagi lebih dua tahun,” katanya.

Kaji selidik itu, kata Public Investment Bank, turut menunjukkan kalangan perniaga kini semakin bimbang mengenai impak pertikaian perdagangan antara Washington dan Beijing.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing jatuh dua sen kepada RM9.34 dan RM24.58, Tenaga menyusut 12 sen kepada RM13.64, manakala CIMB tidak berubah pada RM5.65.

Daripada pasaran aktif, Hubline, Bumi Armada dan Sanichi masing-masing tidak berubah pada 4.5 sen, 15 sen dan 6 sen manakala KUB menokok satu sen kepada 38.5 sen.

Indeks FBM Emas Index jatuh 38.27 mata kepada 11,398.14, Indeks FBMT 100 turun 35.74 mata kepada 11,317.68 dan Indeks FBM Emas Shariah Index susut 51.08 mata kepada 11,348.14.

Indeks FBM Ace Index turun 24.84 mata kepada 4,239.31, manakala FBM 70 jatuh 36.78 mata kepada 12,975.82.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan jatuh 12.84 mata kepada 17,205.04, Indeks Perladangan susut 42.24 mata kepada 6,813.03 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrain merosot 0.24 mata kepada 165.50.


Pengarang :