NASIONAL

Jangkaan rundingan perdagangan dua hala AS-China, pengaruhi pasaran ekuiti

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Perbincangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China berhubung perdagangan dua hala mereka dijangka mempengaruhi pasaran ekuiti minggu depan, kata Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata, keadaan itu mungkin menjadi sumber kepada ketidakstabilan pasaran dengan pemainnya ketika ini bimbang akan pergolakan dalam pasaran global.

“Secara umumnya perniagaan semakin mengelak risiko apabila sesetengah negara terutamanya China dan negara ASEAN mencatatkan indeks pembuatan di bawah paras 50 mata.

“Malahan, indeks pembuatan US ISM menunjukkan trend yang serupa, susut sebanyak 5.2 mata kepada 54.1 pada Disember 2018.

“Kebiasaannya, perniagaan akan mengurangkan perbelanjaan modal dan pengambilan pekerja mereka kerana akan lebih berhati-hati dengan prospek permintaan, jadi kami menjangka pasaran ekuiti kekal lemah dalam tempoh terdekat ini,” katanya, lapor Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, paras sokongan semasa berada pada 1,653.

Katanya, FBMKLCI mungkin menguji paras ini sekiranya perbincangan itu tidak mencapai hasil yang positif.

Bagi minggu dagangan singkat yang baharu berakhir ini, FBM KLCI diniagakan kebanyakannya rendah terjejas disebabkan terutamanya oleh faktor luar seperti keadaan politik AS yang tidak menentu, kebimbangan terhadap pertumbuhan lemah ekonomi global dan ura-ura kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.

Bursa tempatan dan anak syarikatnya ditutup pada Selasa sempena cuti umum Tahun Baharu.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI turun 22.29 mata kepada 1,669.78.

Indeks FBM Emas susut 124.28 mata kepada 11,413.02, Indeks FBMT100 jatuh 131.24 mata kepada 11,323.34, FBM 70 berkurangan 67.72 mata kepada 13,023.80, Indeks FBM Emas Shariah menyusut 152.51 mata kepada 11,356.91 tetapi FBM Ace naik 34.23 mata kepada 4,294.43.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 99.90 mata kepada 17,241.79, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.18 mata kepada 165.63, manakala Indeks Perladangan jatuh 16.84 mata kepada 6,880.90.

Perbandingan Jumaat ke Jumaat, jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 7.22 bilion unit bernilai RM4.79 bilion daripada 5.70 bilion unit bernilai RM4.15 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 5.17 bilion unit bernilai RM4.37 bilion berbanding 4.16 bilion saham bernilai RM3.85 bilion.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.23 bilion unit bernilai RM282.94 juta berbanding 948.80 juta unit bernilai RM202.97 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 719.60 bilion saham bernilai RM127.20 juta berbanding 556.26 juta saham bernilai RM90.05 juta.


Pengarang :