GLOBALSUKANKINI

Piala FA: Tottenham belasah Tranmere

LONDON, 5 JAN: Fernando Llorente membantu Tottenham Hotspur melangkah ke pusingan keempat Piala FA Inggeris dengan jaringan hatrik ketika membenam Tranmere Rovers 7 – 0 di Preston Park, awal pagi ini.

Pasukan kendalian Mauricio Pochettino bertandang ke laman lawan dari Divisyen Empat itu, menguasai perlawanan pusingan ketiga dengan memulakan jaringan menerusi pemain Ivory Coast, Serge Aurier, lima minit sebelum babak pertama berakhir.

Llorente menambah jaringan pasukan dengan gol pertamanya selepas tiga minit separuh masa kedua bermula diikuti Aurier dengan jaringan keduanya untuk Spurs selesa mendahului 3 – 0.

Penyerang Korea Selatan, Son Heung-Min mengambil giliran untuk gol keempat hasil gerakan solo pada minit ke 57 untuk mengecewakan penjaga gol Tranmere, Scott Davies.

Llorente yang juga penyerang Sepanyol kembali dengan jaringan kedua (m71) dan melengkapkan hatrik seminit kemudian apabila melengkapkan hantaran Lucas Moura.

Kapten England, Harry Kane menjaringkan gol ketujuh Spurs apabila masuk menggantikan Llorente, lapan minit sebelum masa penuh permainan.

Pochettino melahirkan rasa gembira dengan Spurs berjaya mengekalkan persembahan baik sejak menempuh jadual padat mulai Krismas lalu.

“Gol pembukaan agak bertuah tetapi saya rasa separuh kedua permainan lebih baik.

“Saya gembira kerana pemain mengekalkan tahap ini dan kami terus dalam persaingan,” katanya, lapor AFP.


Pengarang :