SELANGOR

Jom Shopping Tahun Baru Cina rai 450 warga emas

OLEH NORHAYATI UMOR

SEKINCHAN, 17 JAN: Seramai 450 penerima baucar Jom Shopping bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan berpeluang membeli barangan keperluan menjelang sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Ahli Dewan Negerinya, Ng Suee Lim berkata, program berterusan daripada Kerajaan Negeri itu bagi membantu golongan kurang berkemampuan membuat persiapan menjelang perayaan.

“Walaupun nilainya tidak tinggi, namun kita berharap ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka.

“Amalan kepimpinan Kerajaan Negeri yang berjiwa rakyat dalam membahagikan hasil negeri ini menggembirakan penerima,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, penganjuran program Jom Shopping juga terus mendapat sambutan hangat dalam kalangan warga emas setiap kali musim perayaan.

Program Jom Shopping adalah salah satu daripada dasar Inisiatif Peduli Rakyat yang bertujuan membantu rakyat Selangor, terutama golongan kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal.

Ia diperkenalkan pada 2008 oleh Pakatan Rakyat (ketika itu) dan diteruskan hingga kini.

Baucar itu diagihkan kepada semua Pusat Khidmat Rakyat DUN di seluruh negeri dan wakil rakyat atau pegawai penyelaras DUN akan menetapkan tarikh untuk membawa warga emas berkenaan membeli-belah.


Pengarang :