OLEH NADIAH ZAMLUS
SHAH ALAM, 17 JAN: Proses pendengaran awam bagi cadangan menyahwarta Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Lagong dijadul berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi.
EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berharap proses itu dapat dijalankan sebelum sambutan Tahun Baru Cina.
“Kerajaan Negeri akan mendengar semua pandangan dan cadangan ketika proses pendengaran berlangsung sebelum melakukan sebarang keputusan.
“Buat masa ini, hanya Selangor satu-satunya negeri yang menjalankan proses pendegaran awam dan jika berjaya, tanah hutan simpan lain akan digantikan semula,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, plot yang dicadangkan bagi kawasan nyahwarta itu hanya membabitkan satu peratus sahaja daripada keluasan HSK berkenaan.
Beliau berkata, jumlah keluasan HSK Bukit Lagong ialah 3,634 hektar dan kawasan nyahwarta tidak membabitkan air terjun serta perkampungan orang asli.
“Buat masa ini, lokasi penggantian semula tanah HSK itu adalah di Broga, Semenyih,” katanya.
SelangorKini pada 4 Disember lalu melaporkan, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, keputusan menyahwarta HSK Bukit Lagong bagi tujuan pembangunan sudah dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN), sejak 2005.
Namun sebaliknya Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) di bawah pimpinan mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali komited mengekalkan kewujudan HSK setelah mengambil alih pentadbiran negeri.
Terdahulu, sebuah badan bukan kerajaan mempertikai tindakan Kerajaan Negeri menyahwartakan sebahagian daripada Hutan Simpan Bukit Lagong, di Gombak untuk projek perumahan.