SELANGOR

KDEBWM Ampang Jaya laksana 250 gotong royong bendung wabak denggi

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 6 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) Ampang Jaya komited membantu masyarakat di kawasan berkenaan khususnya membendung wabak denggi menerusi program gotong royong sejak tahun lalu.

Ketua Operasi KDEBWM Cawangan Ampang Jaya, Mohamad Jafaq Mohamad Ali berkata, sebanyak 250 program gotong royong diadakan di setiap kawasan yang dipersetujui Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Katanya, program berkenaan sebagai usaha mewujudkan komuniti sihat dan selamat serta bebas dari wabak penyakit.

“Program ini dijalankan secara aktiviti amal di seluruh Ampang Jaya berjaya dilakukan sebanyak 250 tanpa gagal tahun lalu.

“Selain itu, KDEBWM Ampang Jaya juga tetap memberi perhatian khusus membantu membersihkan kawasan mengalami bencana alam antaranya di Kampung Melayu Ampang, Taman Muda, Taman Bukit Teratai, Lembah Maju dan kawasan lain.

“Bantuan pembersihan dilakukan segera bagi memudahkan lalu lintas serta aktiviti penduduk seharian,” katanya kepada SelangorKini.

Mohamad Jafaq berkata, KDEBWM Ampang Jaya juga turut memberi kerjasama kepada MPAJ dalam menyelesaikan isu sampah haram membelenggu penduduk setempat dari masa ke masa dengan menggunakan kemudahan jentera dan kakitangannya.

“Bukan itu sahaja, kami mengenali dan melayani penduduk setempat untuk skop tidak membabitkan KDEBWM juga dimaklumkan kepada penduduk dengan cara berhemah turut menarik minat penduduk untuk memberi kerjasama baik,” katanya.

Beliau berkata, KDEBWM juga secara konsisten membantu penduduk dengan memberi sumbangan tong sampah di kawasan sekolah, masjid, surau, dewan orang ramai, pasar dan perumahan kos rendah.

“Ia bagi memudahkan KDEBWM mengutip sampah dengan lebih mudah berbanding di kawasan tidak menyediakan tong sampah,” katanya.


Pengarang :