SELANGOR

KDEBWM Ampang Jaya terima respon positif

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 6 JAN: Pengambilalihan kutipan sisa pepejal di Ampang Jaya oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) sejak dua tahun lalu menerima respon positif dan kerjasama pelbagai pihak.

Ketua Operasi KDEBWM Cawangan Ampang Jaya, Mohamad Jafaq Mohamad Ali berkata, sebanyak 225 aduan diterima pada bulan pertama pengambilalihan berjaya diturunkan kepada sifar.

Katanya, 24 zon Jawatankuasa Penduduk (JKP) Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) turut berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan KDEBWM termasuk aktiviti perkhidmatan dijalankan mengikut jadual serta aduan diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

“KDEBWM mengambil alih kutipan sisa domestik dan pembersihan awam di Ampang Jaya sejak 2017 dan sepanjang tempoh itu, banyak pihak memberikan respon sangat positif.

“Kutipan juga berjaya dilaksanakan dengan lancar walaupun di perumahan berstrata dengan KDEBWM berjaya melaksanakannya dengan baik,” katanya kepada SelangorKini.

Mohamad Jafaq berkata, pihaknya turut menerima 11 sijil penghargaan dari JKP Zon, persatuan penduduk dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) komersial yang berpuas hati dengan perkhidmatan dijalankan.

Terdahulu, prestasi KDEBWM menguruskan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di MPAJ berada pada tahap terbaik.

Yang Dipertua MPAJ, Dato’ Abdul Hamid Hussain berkata, maklum balas positif direkodkan berdasarkan penurunan aduan komuniti membabitkan pengurusan sisa pepejal di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Malah, KDEBWM juga berjaya membuktikan komitmen dan kecemerlangan tinggi dalam melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal berteraskan ‘Smart Waste Solution’ sebagai solusi berkesan di negeri itu sepanjang tempoh dua tahun.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu, Ng Sze Han berkata, model perniagaan berteraskan penyelesaian pintar yang menekankan ‘Internet of Things’ (IoT) turut membolehkan syarikat itu menerima pengiktirafan dari firma Perunding dan Penyelidikan Antarabangsa.


Pengarang :