NASIONAL

Kerajaan perlu tegas isu pamer ayat al-Quran

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JAN: Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap pemilik restoran bukan Islam yang meletakkan ayat al-Quran bagi menarik pelanggan Islam ke premis berkenaan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, hal itu bagi mengelakkan orang Islam tertipu dengan tindakan pemilik premis yang tidak bertanggungjawab.

“Pada masa kini, isu ini berleluasa di banyak premis dimiliki orang bukan Islam.

“Mereka meletakkan ayat-ayat suci al-Quran dan ayat-ayat yang menggambarkan pemiliknya kononnya Islam, itu menyebabkan pengguna keliru.

“Ia sekali gus menyebabkan pelanggan Islam tertipu dan menganggap restoran berkenaan mempunyai sijil Halal,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Yusof berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertanggungjawab membanteras isu berkenaan sekiranya pemilik bukan Islam.

“Pihak Jabatan Agama Islam tidak boleh mengambil tindakan kerana ia membabitkan premis bukan Islam. Isu ini bukan perkara baru, kebanyakkan premis ini juga tidak memohon sijil Halal.

“Pengguna Islam apabila melihat terdapat elemen itu, akan terus mengunjunginya tanpa membuat pemeriksaan terlebih dahulu,” katanya.

Pada masa sama, Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim perlu bekerjasama dengan Kerajaan membanteras aktiviti berkenaan dan meminta mereka mempamerkan sijil Halal.

Katanya, pengguna juga dinasihatkan supaya peka akan persekitaraan membabitkan suasana premis, pekerja dan hidangan yang dijual.

 


Pengarang :