SUKANKINI

Liverpool ikat Leicester, kekal di puncak liga

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 31 JAN: Liverpool melebarkan jurang di puncak liga dengan kelebihan lima mata di hadapan Manchester City selepas mencatatkan keputusan seri 1-1, berdepan Leicester City awal pagi tadi.

Sadio Mane meletakkan tuan rumah di hadapan seawal minit ketiga selepas berjaya melakukan rembatan rendah menewaskan penjaga gol lawan, Kesper Schmeichel.

Liverpool yang menguasai permainan cuba mengasak bagi menambah jaringan menerusi Roberto Firmino dan Mohamed Salah tetapi gagal menemui sentuhan.

Sebaliknya, pasukan lawan berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada penghujung babak pertama menerusi tampanan Harry Maguire yang melepasi perangkap offside pertahanan Liverpool.

Bersambung babak kedua, Leicester hampir menggandakan jaringan pada minit ke-52 menerusi situasi kelam kabut di hadapan gawang Liverpool tetapi penjaga gol, Alisson Becker bertindak cemerlang menampan bola di atas garisan gol.

Tiada tambahan jaringan sehingga tamat perlawanan dan Liverpool kini mengumpul 61 mata selepas 24 perlawanan.

Kredit Foto: Premier League

 

 


Pengarang :