SUKANKINI

Liverpool terus kebal atau Man City jadi pemusnah?

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 3 JAN: Awal pagi esok bakal menyaksikan pertembungan penting dua kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester City dan Liverpool di Stadium Eitihad yang pastinya dinantikan semua peminat bola sepak Eropah.

Perlawanan itu penting kerana Liverpool selaku pendahulu liga masih belum mencatatkan sebarang kekalahan dalam saingan musim ini mengumpul 54 mata selepas 20 perlawanan sementara Manchester City ketinggalan tujuh mata di tangga ketiga dengan 47 mata.

Dua kemenangan pada ‘Boxing Day’ buat The Reds berjaya melebarkan jurang mata mereka di tangga teratas sementara kekalahan 1-2 kepada Leicister City merubah nasib The Citizen.

Kelebihan dilihat memihak kepada pasukan kendalian Jurgen Klopp susulan kejayaan mencatatkan tiga daripada empat kemenangan ke atas skuad Pep Guardiola pada saingan musim lalu dengan salah satu daripadanya dilakar di Stadium Eitihad pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Klopp dalam kenyataannya mengakui pasukkanya bakal berdepan laluan sukar di gelanggang lawan tetapi mereka akan sedaya upaya pulang membawa mata berharga selepas berada pada landasan tepat bagi mengakhiri kemarau kejuaraan liga hampir 30 tahun.

Bagi Guardiola, hanya kemenangan bakal mengembalikan keyakinan mereka meneruskan saingan mempertahankan kejuaraan liga dimenangi musim lalu selain mengenepikan saingan sengit pasukan di tangga kedua, Tottenham Hotspurs yang berkelebihan satu mata.

Barisan pertahanan Liverpool yang diketuai Virgil Van Dijk dilihat kebal apabila hanya bolos lapan kali berbanding 16 kali dihadapi Manchester City walaupun menjadi pasukan yang menjaringkan gol terbanyak setakat ini dengan 54 gol.

Liverpool pastinya mahu mengelak aib tewas 5-0 awal musim lalu kepada City dan lebih parah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Sadio Mane dibuang padang apabila mengasari penjaga gol, Ederson.

Tetapi kekalahan itu berjaya ditebus dengan kemenangan 4-3 di Anfield sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah Manchester City dalam saingan liga.

Dalam pusingan pertama saingan liga musim ini, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan dalam aksi di Anfield walaupun Manchetser City berpeluang membawa pulang tiga mata penuh selepas Riyad Mahrez gagal menyempurnakan sepakan penalti di penghujung perlawanan.


Pengarang :