BERITA UTAMANASIONAL

Majlis Raja-Raja pilih Yang di-Pertuan Agong 24 Januari

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Majlis Raja-Raja akan mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara, pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Raja-Raja juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini.

Penetapan tarikh mesyuarat khas itu dicapai menerusi mesyuarat khas Majlis Raja-Raja yang diadakan di Istana Negara hari ini yang dihadiri enam daripada sembilan Sultan dan Raja.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, mesyuarat khas majlis hari ini itu dihadiri Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail; Sultan Terenganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Shah.

“Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja hari ini diadakan susulan Sultan Muhammad V, meletakkan jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15, berkuat kuasa serta merta, semalam.

“Sehubungan itu, Raja-Raja menetapkan 24 Januari ini untuk mengadakan mesyuarat khas bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

“Raja-raja juga menetapkan tarikh 31 Januari ini untuk membincangkan acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Keputusan Sultan Muhammad V meletak jawatan itu selaras dengan Perkara 32 (3) Perlembagaan.

Beberapa prosedur ditetapkan dalam menentukan pemilihan Yang di-Pertuan Agong baharu antaranya, baginda mesti dipilih oleh Majlis Raja-raja mengikut kaedah dan cara ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan dan Peraturan-peraturan Majlis Raja-raja.

Jika berlaku kekosongan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada empat minggu dari tarikh berlaku kekosongan jawatan itu.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pula akan menyembah syarat kepada setiap Raja bagi memohon perkenan sama ada baginda berhasrat dicalonkan untuk dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Raja-Raja yang tidak berhasrat dipilih hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan negerinya akan diletakkan di tempat akhir sekali dalam senarai pencalonan pada masa itu.

Mengikut amalan, Yang di-Pertuan Agong dipilih berdasarkan sistem penggiliran setiap lima tahun mengikut negeri.

Menurut senarai, giliran seterusnya adalah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Namun, takhta baginda kini dipangku anaknya Tengku Abdullah.

Jika Majlis Raja-Raja tidak boleh memilih Sultan Ahmad Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu, giliran seterusnya adalah Johor yang diperintah Sultan Ibrahim Iskandar.

Syed Danial turut berkata, Raja-raja yang hadir dalam perjumpaan hari ini turut mengambil maklum dan menghormati hasrat Sultan Muhammad V untuk berundur diri, meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa 6 Januari lalu.

“Raja-raja turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat Sultan Munammad memenuhi amanah dan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong mulai 13 Disember 2016 sehingga 6 Januari lalu,” katanya.

*Sumber: BHOnline


Pengarang :