Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
PBTSELANGOR

MPSJ tawar insentif RM10 kepada pembayar cukai

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 JAN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menawarkan insentif pemulangan RM10 kepada 30,000 akaun pertama yang membayar Cukai Taksiran 2019 secara dalam talian, sebelum 28 Februari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya, Azfarizal Abdul Rashid berkata, inisiatif itu bagi menggalakkan orang ramai membuat pembayaran secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter MPSJ.

Katanya, ia juga selaras hasrat Pihak Berkuasa Tempatan itu Ke Arah Kaunter Sifar seperti direncanakan dalam Pelan Strategik MPSJ 2012-2030 (Teras1: Tadbir Urus Terbaik).

“Orang ramai yang ingin mendapatkan insentif RM10 ini perlu mendaftarkan diri mereka di portal www.mpsj.gov.my sebagai ahli my@MPSJ dan membuat pembayaran melalui portal MPSJ, pada penggal satu bermula 1 Januari hingga 28 Februari 2019.

“Pembayaran cukai taksiran adalah untuk tempoh setahun (penggal satu & dua) serta tiada tunggakan cukai taksiran selepas pembayaran itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, insentif itu diharap dapat meningkatkan lagi bilangan pembayar cukai taksiran MPSJ melalui portal berkenaan.

“Kita menyasarkan peningkatan 50 peratus bilangan pembayar cukai taksiran secara dalam talian berbanding tahun 2018 sebanyak 35 peratus,” katanya.

Sepanjang 2018, MPSJ berjaya mengutip 92 peratus cukai taksiran berjumlah RM 197.543 juta, selain menetapkan sasaran kutipan cukai RM218 juta, pada tahun ini.


Pengarang :