SELANGOR

Restoran Khulafa nafi pekerja cuci sudu di jalan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 JAN: Pengurusan Restoran Khulafa Sdn Bhd, di Seksyen 7, di sini, menafikan dakwaan pekerjanya mencuci sudu dan garfu di jalan belakang premis terbabit yang tular, di media sosial sejak semalam.

Pengerusinya, Datuk Abdul Wahith Sharfuddin berkata, salah faham itu timbul kerana pekerja sambilannya sedang membuat pembersihan dan baru mengeluarkan beberapa peralatan memasak termasuk sudu dan garfu yang disimpan dalam stor.

Katanya, kejadian yang berlaku kira-kira jam 1 tengahari semalam hanya diketahui tiga jam kemudian selepas dimaklumkan pelanggan.

“Individu yang rakam gambar itu salah sangka. Sebenarnya, sudu yang diletakkan di atas jalan seperti dalam gambar itu adalah sudu lama yang berada dalam stor sebelum ini.

“Seorang pekerja meletakkan peralatan itu di atas jalan terbabit sebelum dimasukkan ke dalam plastik hitam untuk dibuang. Namun, mungkin secara kebetulan ada individu lalu di kawasan belakang premis dan merakam gambar sehingga timbul salah faham seperti ini,” katanya kepada pemberita.

Terkilan dengan dakwaan itu, katanya, tindakan individu tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar terbabit boleh memberi tanggapan buruk masyarakat, sekali gus menjejaskan reputasi terhadap lapan lagi cawangan restoran berkenaan, di sekitar Lembah Klang.

“Kami menjalankan perniagaan sejak 38 tahun dan pelanggan boleh menilai sendiri cara kerja kami yang mengikut piawaian syariah serta aspek kesihatan secara menyeluruh.

“Cara basuhan sudu dan garfu di restoran ini juga mengikut prosedur ditetapkan iaitu dengan merendam dalam air sabun sebelum dicuci menggunakan span serta dibilas, kemudian direndam sekali lagi dalam air panas,” katanya.

Pada masa sama, Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Majlis Bandaraya Shah Alam turut menjalankan pemeriksaan di premis terbabit setelah menerima aduan berhubung hal itu.

Abdul Wahith berkata, pihak berkuasa itu juga berpuas hati dengan pengurusan premis dan memberikan gred A bagi Sijil Penarafan Kebersihan Premis Makanan.

 


Pengarang :