NASIONAL

PAKATAN perlu masa tembusi kubu kuat BN

KLANG, 27 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) memerlukan lebih masa untuk menembusi kawasan yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya yang akan datang.

Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Dato’ Teng Chang Khim berkata, kekalahan calon parti itu, M Manogaran, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands semalam, sudah dijangka.

Katanya, kawasan pengundi yang berada di pedalaman turut menjadi antara faktor kekalahan PAKATAN kepada calon BN, Ramli Mohd Nor.

“Itu sesungguhnya sudah dalam jangkaan, kerana BN tidak pernah kalah di Cameron Highlands. Ia berada di kawasan pedalaman dan banyak maklumat tidak dapat disampaikan kepada pengundi,” katanya lapor BHOnline.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengedarkan limau di Pasar Pagi Taman Eng Ann, di sini, hari ini.

Beliau berkata, BN sudah bertapak lama di kawasan berkenaan dan bukan mudah bagi PAKATAN untuk menawan kawasan berkenaan dalam tempoh singkat selepas menjadi Kerajaan Persekutuan.

PRK Cameron Highlands menyaksikan Ramli memperoleh 3,238 undi majoriti atau 12,038 undi keseluruhan menewaskan tiga lagi pencabarnya iaitu Manogaran serta dua calon bebas, bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee yang juga petani tempatan.

Manogaran yang tiga kali bertanding di kerusi berkenaan sebelum ini memperoleh 8,800 undi, sementara Sallehudin (314 undi), dan 276 undi diperoleh Seng Yee.

Peratus keluar mengundi pula direkodkan sebanyak 68.79 peratus, sementara undi ditolak berjumlah 568 undi.

 


Pengarang :