GLOBAL

PBB: Myanmar lengah benarkan pelarian Rohingya pulang

NEW YORK, 19 JAN: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam mengecam tindakan Myanmar yang disifatkannya sebagai ‘terlalu perlahan’ dalam usaha membenarkan pelarian Islam Rohingya pulang ke negara itu.

Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres berkata, pihaknya juga melihat tindakan itu mengecewakan dan tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif.

“Saya berasa sangat kecewa berhubung perkembangan itu dengan usaha dilakukan terlalu perlahan.

“Kita tegaskan harus dikenakan satu syarat supaya proses itu disegerakan dan mereka bersedia untuk pulang,” katanya dipetik AFP.

Dilaporkan lebih daripada 720,000 Rohingya berada di kem pelarian di Bangladesh selepas lari dari utara Rakhine Myanmar berikutan kempen ketenteraan pada 2017 yang disifatkan PBB sebagai pembersihan etnik.

Myanmar pada awalnya bersetuju untuk menerima sebahagian daripada pelarian selepas mencapai persetujuan dengan Bangladesh, tetapi PBB bertegas dengan syarat keselamatan etnik Islam Rohingya terjamin.

Kerajaan Myanmar bulan ini menangguhkan lawatan dirancang Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi yang dijadual melawat Rakhine.

Etnik Islam Rohingya yang hidup dalam kalangan majoriti Buddha Myanmar dianiaya dan ditindas sejak berdekad lalu serta ditolak hak kewarganegaraan.

Myanmar menafikan semua tuduhan dan menggambarkan operasi tenteranya sebagai kempen untuk menghapuskan pengganas.


Pengarang :