SUKANKINI

Petr Cech bakal bersara hujung musim ini

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 16 JAN: Selepas beraksi selama 20 tahun, penjaga gol berpengalaman, Petr Cech mengumumkan bakal bersara hujung musim ini sebagai pemain profesional.

Beliau yang kini berusia 36 tahun masih beraksi bersama Arsenal sejak berpindah daripada Chelsea, pada 2015 masih berharap untuk menang sekurang-kurangnya satu lagi trofi musim ini.

“Inilah masa sesuai untuk mengumumkan persaraan saya hujung musim ini. Saya sudah beraksi selama 15 tahun di Liga Perdana Inggeris dan memenangi setiap trofi kejuaraan.

“Saya rasa sudah mencapai kejayaan seperti yang diimpikan. Saya akan terus bekerja keras bersama Arsenal dan memenangi satu lagi kejuaraan musim ini.

“Selepas itu, saya akan melihat peluang yang ada di luar padang,” katanya menerusi laman Instagram @petrcech.

Cech antara pemain yang melalui zaman kegemilangan ketika bersama Chelsea, sejak 2004 di bawah bimbingan Jose Mourinho selepas berhijrah daripada Rennes dengan 333 penampilan serta menjuarai trofi Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala Perisai Komuniti, Liga Juara-Juara Eropah dan Piala Europa.

Dalam karier antarabangsa pula, Cech mewakili Republik Czech, sejak 2002 dengan 124 kaps kebangsaan sebelum mengumumkan persaraan, pada 2016.


Pengarang :