NASIONAL

Pondok panas dan kempen dilarang pada hari undi – BERSIH

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 JAN: Parti politik dan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands diingatkan supaya tidak mendirikan pondok panas di sekitar pusat mengundi atau mengadakan sebarang aktiviti meraih undi di media sosial.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 dalam kenyataan berkata, ia berikutan perkara tersebut melanggar peraturan mengikut Seksyen 26 dan Seksyen 26(1) (c), Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Katanya, hukuman untuk kesalahan berkenaan adalah penjara tidak lebih satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

“Hanya SPR yang dibenarkan mendirikan pondok panas pada hari mengundi. Mengikut Seksyen 26A, ia memperuntukkan kuasa kepada SPR untuk mendirikan pondok panas di tempat bersesuaian bagi tujuan membantu pengundi memastikan nombor giliran dalam daftar pemilih.

“Adalah jelas tidak perlunya calon-calon dan parti politik mendirikan pondok panas untuk membantu pengundi pada hari mengundi,” katanya.

BERSIH turut memberi amaran supaya penyokong parti politik tidak menjalankan aktiviti meraih undi dengan cara memberi makanan dan minuman secara percuma.

Katanya, walaupun perkara-perkara berkenaan adalah jelas dalam Akta Kesalahan Pilihanraya, namun fenomena itu masih berlaku di dalam empat PRK sebelum ini termasuk Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson.

“Ini perlu dihentikan segera, kami menggesa SPR dan pasukan penguatkuasa untuk menguatkuasakan undang-undang lebih ketat supaya budaya pilihan raya yang baru dapat dimulakan di dalam negara kita.

“Kami juga menyeru semua pengundi Cameron Highlands keluar mengundi untuk melaksanakan hak dan juga tanggungjawab sebagai pengundi di dalam proses demokrasi,” katanya.

PRK Cameron Highlands yang dijangka berlangsung esok bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PAKATAN), M Manogaran; Ramli Mohd Nor dari Barisan Nasional (BN) serta dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib serta petani tempatan, Wong Seng Yee.

Pilihan raya itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

PRK ini adalah yang kelima setelah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan tiga PRK DUN sebelum ini melibatkan Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor serta PRK Parlimen Port Dickson.


Pengarang :