EKONOMINASIONAL

Ringgit lebih tinggi berbanding Dolar AS dalam dagangan awal

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Ringgit lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada dagangan awal berikutan permintaan terhadap mata wang tempatan meningkat disebabkan dolar AS mengalami tekanan selepas Rizab Persekutuan AS dijangka menangguhkan kitaran kadar pengawalannya pada tahun ini.

Pada 9.16 pagi, ringgit berada pada paras 4.1030/1080, berbanding dolar AS, naik 100 mata asas daripada 4.1130/1160 pada Rabu.

Selain itu, suasana pasaran tempatan turut mendapat galakan dengan petanda kemajuan dicapai dalam perbincangan perdagangan AS – China, berikutan ketegangan perdagangan antara dua gergasi ekonomi itu telah menjejaskan pasaran pada kebanyakan masa pada tahun lalu.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain, kecuali berbanding dolar Singapura.

Ia naik kepada 3.0296/0351 daripada 3.0310/0336 dicatatkan semalam.

Mata wang tempatan susut berbanding yen kepada 3.8015/8069 daripada 3.7755/7796, turun berbanding pound British kepada 5.2469/2550 daripada 5.2445/2504 dan merosot berbanding euro kepada 4.7369/7435 daripada 4.7135/7178.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :