GLOBAL

UK, JEPUN akan lancar program teknologi canggih rangsang inovasi

LONDON, 10 JAN: Britain dan Jepun akan melancarkan satu program pembiayaan awal bernilai 30 juta pound (RM157.33 juta) bagi teknologi canggih dalam usaha merangsang inovasi serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Laporan agensi berita China, Xinhua memaklumkan, langkah itu diumumkan pada Rabu, sehari sebelum lawatan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe ke Britain.

Kenyataan rasmi pejabat Perdana Menteri Britain menyatakan penyelidik kedua-dua negara akan meneroka seni reka bentuk sistem robotik bagi populasi benua, mencari kaedah rawatan baharu bagi keadaan kronik seperti demensia serta kegagalan jantung dan bentuk baharu pengangkutan hijau serta penyimpanan tenaga.

Perdana Menteri Britain, Theresa May berkata, negaranya dan Jepun kini berdepan banyak cabaran sama serta peluang besar.

Britain juga berjanji akan mempertingkat jumlah latihan bersama antara pasukan pertahanan kedua-dua negara dan “memperkukuh kerjasama maritim,” menurut kenyataan itu.

“Ketika United Kingdom bersiap sedia untuk meninggalkan Kesatuan Eropah, kami telah memperluas horizon kami ke seluruh dunia,” kata May.

Semasa lawatan Abe, kedua-dua pemimpin dijangka menghadiri satu taklimat dipengerusikan oMenteri Keselamatan Britain, Ben Wallace dan turut membincangkan Brexit.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :