NASIONAL

Sistem Perwakilan Berkadar, capai 30% wanita dalam politik

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 13 JAN: Kaedah Sistem Perwakilan Berkadar dalam pilihan raya perlu dilaksanakan bagi mencapai sasaran 30 peratus pembabitan wanita dalam politik.

Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, ia antara ‘electoral reform’ diperjuangkan parti itu supaya Suruhanjaya Pilihan Raya boleh meminda sistem pilihan raya sedia ada.

“Kita mahu mengusulkan “Propotional Representative System” (Sistem Perwakilan Berkadar), iaitu 30 peratus pembabitan wanita dalam pilihan raya.

“Dengan cara ini, kita boleh memastikan 30 peratus pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan, namun ia hanya sekadar jumlah minimum, jika lebih lagi baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Wanita KEADILAN 2019 Selangor dan Wilayah Persekutuan serta Pelancaran Kempen Membanteras Keganasan Terhadap Wanita, di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, pembabitan wanita dalam kerajaan kini sudah 13 peratus, berbanding kerajaan terdahulu kurang 10 peratus.

“Namun, 13 peratus itu hanya kebetulan, justeru perlu untuk kita laksanakan ia secara lebih bersistem.

“Saya optimis wanita KEADILAN terus berjuang menjayakan hasrat pembabitan 30 peratus wanita dalam politik supaya tercapai,” katanya

Terdahulu, Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha turut mencadangkan mahu mekanisme pelantikan wanita sebagai anggota Parlimen tanpa perlu melalui proses pilihan raya.

Katanya, pihaknya sedang merangka satu pertemuan perbincangan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkenaan cadangan itu.


Pengarang :