SELANGOR

Taman Rekreasi Hutan Bandar lokasi pilihan riadah keluarga

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 11 JAN: Berada dalam kesibukan pusat bandar Subang Jaya, Taman Rekreasi Hutan Bandar adalah sebuah lokasi pilihan untuk melakukan aktiviti riadah bersama keluarga mahupun rakan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkata, selaras dengan Pelan Strategik MPSJ 2012-2030 dan Rancangan Tempatan Subang Jaya 2035, perancangan dan pembangunan mampan serta mesra alam, taman berkenaan menjadi inisiatif ke arah Perbandaran Vibrant.

Katanya, cadangan pembangunan itu berkonsepkan hutan bandar bertujuan mewujudkan persekitaran segar, nyaman dan selesa untuk semua lapisan masyarakat terumatanya warga Subang Jaya.

“Kawasan tapak ini berpotensi tinggi sebagai taman rekreasi awam untuk riadah keluarga berikutan 70 peratus daripada guna tanah sekeliling adalah kawasan perumahan.

“Manakala 30 peratus adalah perindustrian dan sebagainya di mana rancangan pembangunannya siap pada April tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke taman itu bersama EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemerbadayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud serta EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari.

Projek itu adalah Projek Hutan Bandar pertama di kawasan Subang Jaya dilaksanakan melalui pemuliharaan kawasan hutan belukar sedia ada dengan keluasan 7.86 ekar dan menelan belanja RM2.66 juta.

Taman berkenaan mempunyai landskap yang lembut iaitu pelbagai jenis pokok hutan tropika sesuai dengan iklim di Malaysia.

Sebanyak 8,288 pokok dari 29 spesis pokok ditanam di lima laman utama iaitu Laman Terapi, Laman Ilmu, Laman Herba dan Laman Permainan Kanak-Kanak.

Taman Rekreasi Hutan Bandar itu juga dapat dimanfaatkan sebagai ‘Intergrated Playground Centre’ kerana bakal menyediakan kemudahan komprehensif untuk komuniti.

Antara kemudahan seperti trek bersukan, ‘walk board’, taman hutan, ‘open lawn’, ‘mountainbike trail’, taman permainan kanak-kanak, gimnasium aktiviti luar dan kemudahan lain.

 


Pengarang :