SELANGORSUKANKINI

Terus kerja keras kembali kepercayaan penyokong

PETALING JAYA, 26 JAN: Barisan exco Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) diingatkan untuk terus bekerja keras dalam usaha mengembalikan semula kepercayaan penyokong kepada The Red Giants.

Presidennya, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda berbangga dengan sokongan padu ditunjukkan penyokong Selangor, sejak enam bulan lalu.

Baginda bertitah, sokongan kian utuh setelah baginda membuat pelbagai transformasi semenjak mengambil alih kepimpinan FAS, pada Julai 2018 daripada Datuk Seri Subahan Kamal.

“Masih banyak kerja perlu kami lakukan untuk anda (penyokong) semua, tetapi kita berada pada landasan betul. Sejak enam bulan lalu, pelbagai kita dapat lihat.

“Selangor ada cara kita sendiri. Ya, kita banyak sejarah (kecemerlangan), tapi kita tidak boleh terikat kepada sejarah.

“Kita perlu lebih inovatif dan paling penting mengamalkan pengurusan bertanggungjawab terhadap peminat dan pemegang taruh,” titah baginda dalam ucapan perasmian pelancaran jersi skuad Liga Super Selangor bagi musim 2019, di sini hari ini.

Tengku Amir Shah yang juga Raja Muda Selangor bertitah, FAS berjaya menarik minat sembilan penaja untuk memberi sokongan kepada pasukan Selangor pada tahun ini, sambil memaklumkan terdapat beberapa pihak swasta turut berminat menaja pasukan berkenaan.

Pada masa sama, baginda yakin kemasukan 14 pemain baharu akan memperkuatkan skuad Gergasi Merah untuk memberi saingan kepada pasukan lain dalam Liga Malaysia 2019.

Pada majlis berkenaan, Tengku Amir Shah berkenan melancarkan jersi baharu Selangor bagi musim 2019, membabitkan jersi merah sebagai jersi utama selain jersi putih sebagai jersi kedua dengan menggunakan jenama Joma dari Sepanyol.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :