NASIONALPENDIDIKAN

UiTM IPTA tunggal miliki Bas Penyelamat Keselamatan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 JAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tunggal memiliki Bas Tujuan Khas Penyelamat Kecemasan Bergerak atau Emergency Mobile Rescue (UEMR), di negara ini.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Dato’ Dr Hassan Said berkata, bas itu menggunakan sepenuhnya konsep dan kelengkapan seperti bilik kecemasan berdasarkan Garis Panduan Perkhidmatan Kecemasan dan Ambulans oleh Fasiliti Kesihatan Primer.

Katanya, reka bentuk kenderaan itu sama seperti bas penumpang lain, tetapi berbeza daripada segi modifikasi lantai yang direndahkan bagi memudahkan pesakit, terutama dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Fungsi utama UEMR adalah digunakan sebagai Klinik Medan semasa penganjuran program sukan atau dalam situasi bencana, malahan dapat memberikan pilihan, selain mendirikan bilik atau khemah khas sebagai tempat merawat serta menstabilkan kes kecemasan sebelum dirujuk di hospital.

“Ia juga berperanan sebagai ‘command centre’ untuk semua ambulans dan paramedik yang bertugas serta digunakan dalam pendidikan kesihatan, saringan dan khidmat nasihat, juga pemberian ubat semasa kempen kesihatan.

“Bas ini juga memberikan perkhidmatan rawatan pesakit luar, pembedahan kecil dan berkhatan ke lokasi yang diperlukan secara berkala sama ada di dalam atau luar UiTM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Bas Klinik Bergerak UEMR, di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, dengan adanya kemudahan UEMR itu, Pusat Kesihatan UiTM boleh memperluaskan lagi skop perkhidmatan bukan sahaja dalam kampus, tetapi memberikan perkhidmatan kesihatan kepada pesakit mahupun komuniti di luar kampus.

“Perkhidmatan ini dapat diberikan menerusi program khidmat masyarakat bersama pelajar, terutama pelajar Fakulti Perubatan, Pergigian dan Sains Kesihatan,” katanya.


Pengarang :