SELANGOR

Aiman nafi susahkan jentera, media

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEMENYIH, 25 FEB: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Muhammad Aiman Zainali menafikan beliau menyusahkan jentera kempen mahupun media sepanjang musim Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Katanya, salah faham itu berlaku apabila segelintir media tidak menerima perubahan jadual kempen daripada pihaknya, bermula pagi ini.

“Sebenarnya saya terpaksa mengubah jadual secara tiba-tiba kerana menziarah jenazah di Masjid Kampung Pasir.

“Saya amat mengenali allahyarham memandangkan beliau pernah bekerja sebagai pemandu bas sekolah dan saya di antara penumpangnya satu ketika dahulu, saya mempunyai hubungan sentimental dengan allahyarham,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum ini media melaporkan Muhammad Aiman kononnya bergerak tidak mengikut jadual yang telah disusun.

Mengulas lanjut, Muhammad Aiman berkata, beliau berharap supaya semua jentera terus rapat bekerjasama bagi membolehkan Dewan Undangan Negeri Semenyih terus dipegang PAKATAN.

“Saya akan terus bersama rakyat dan berharap supaya pengundi dapat membuat pilihan yang terbaik.

“Oleh itu menjadi harapan saya kepada pengundi awal esok, pilihlah pemimpin yang dapat bersama rakyat dan dapat memimpin Semenyih menjadi yang terbaik,” katanya.


Pengarang :