NASIONAL

Cuaca panas, sekolah diminta ambil langkah perlu

PUTRAJAYA, 15 FEB: Kementerian Pendidikan menasihatkan pengurusan sekolah supaya mengambil langkah berjaya-jaga ekoran cuaca panas dan kering berpanjangan yang melanda negara kini.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, pihaknya sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya di beberapa negeri di utara serta Pantai Timur juga beberapa daerah, di Melaka.

“Pihak pengurusan sekolah perlu memantau aktiviti yang mendedahkan murid kepada cuaca panas; menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca panas; memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di sekolah dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti sesuai.

“Selain itu, sekolah juga perlu membekalkan air minuman kepada pelajar asrama yang berdepan sumber air kritikal dan bekerjasama dengan klinik jika murid berdepan komplikasi cuaca,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah perlu mengadakan pemantauan bagi memastikan setiap sekolah mematuhi arahan dikeluarkan.

Katanya, semua sekolah diingatkan supaya lebih peka akan bahaya cuaca panas dan mengambil tindakan berdasarkan Prosedur Operasi Standard.

“Kementerian juga akan membuat pemakluman dari semasa ke semasa terhadap sebarang perubahan berkaitan fenomena yang dialami pada masa ini,” katanya.


Pengarang :