SELANGOR

i-City kawasan segi tiga emas Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 FEB: Pembangunan pesat di i-City yang bakal menempatkan pusat membeli-belah dengan keluasan 940,000 kaki persegi, Central i-City, mampu menjadikan ia salah satu pusat kawasan segi tiga emas di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selain pembangunan di i-City, kawasan sekitar seperti Klang dan Shah Alam juga dilihat mempunyai potensi baik untuk dijadikan sebagai kawasan segi tiga emas.

“Ia adalah satu ruang ekonomi yang baik kepada rakyat Selangor dan penduduk Shah Alam serta Malaysia,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2019 bersama Persatuan Hokkien Malaysia di Hotel Concorde, di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan kehadiran pelabur tempatan atau antarabangsa untuk melabur di Selangor.

“Atas sebab itu kita mendapat pemain industri seperti Toyota, Ikea dan Daiso baru-baru ini dan reputasi itu kita akan kekalkan secara berterusan,” katanya

Terdahulu, media melaporkan, I-Bhd dan Central Pattana, pemaju rangkaian pusat membeli-belah terbesar di Thailand menandatangani perjanjian pada Mei 2013, bagi penubuhan syarikat usaha sama membangunkan pusat beli-belah di i-City, Shah Alam.

Melalui perjanjian itu, I-Bhd dan CPN Global Company Limited, anak syarikat milik penuh Central Pattana Plc menubuhkan syarikat usaha sama bagi membangunkan pusat beli-belah bernilai RM580 juta.


Pengarang :