BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri tanggung kos baik pulih rumah rosak

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 15 FEB: Kerajaan Negeri menanggung sepenuhnya kos membaik pulih rumah yang terjejas dalam insiden ribut, di sembilan buah kampung, di Tanjong Karang, baru-baru ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerja baik pulih yang menelan kos kira-kira RM1.629 juta itu dilaksanakan melalui tanggungjawab sosial Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Katanya, ia turut membabitkan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burung dan DUN Permatang.

“Kerajaan Negeri (turut) meluluskan bantuan wang ihsan berjumlah RM87,000 melalui Tabung Bencana Khas Negeri Selangor untuk diserahkan kepada mangsa dengan kadar segera melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor bagi meringankan beban mangsa.

“Kerajaan Negeri sentiasa peka dan prihatin dengan keperluan mangsa serta bebanan dipikul mereka, justeru kita akan sentiasa menyalurkan bantuan kepada mangsa dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, pada 13 Februari lalu, Amirudin turun padang menyantuni mangsa insiden terbabit, di Kampung Tiram Jaya dan Kampung Sawah Sempadan.

Kejadian ribut yang berlaku pada 11 Februari lalu itu memusnahkan 174 buah rumah dari sembilan (9) buah kampung.

Ribut kira-kira 10 minit dalam kejadian pada jam 6.40 petang itu mengakibatkan beberapa bumbung rumah diterbangkan angin selain terdapat rumah yang ditimpa pokok.

 

 

 

 


Pengarang :