KUALA LUMPUR, 23 Feb — Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (kiri) ketika mellihat pameran robotik yang diadakan pada Program ‘Pj Startup Festival 2019’ di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

NASIONAL

Kerajaan rangka dasar ekonomi digital

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Dasar bagi memperkasa industri ekonomi digital sedang dirangka dan dijangka diumumkan pada suku ketiga tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, pada masa ini, kementeriannya sedang mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi mendapatkan pandangan berhubung pelaksanaan dasar itu.

“Kita bincang dengan MDEC dan mewujudkan satu kumpulan terdiri daripada mereka dalam kalangan industri kerana kita mahu mendapatkan pandangan mereka sebelum sesuatu polisi dirangka,” katanya selepas menghadiri PJ Startup Festival 2019 di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, rakyat Malaysia adalah antara masyarakat dunia yang paling tinggi berhubung secara digital dengan kira-kira 80 peratus mempunyai akses tnternet dan sebahagian besarnya melalui rangkaian mudah alih.

“Bagaimanapun, kami sedar kewujudan jurang digital iaitu kita ketinggalan dari segi standard antarabangsa dalam penggunaan digital oleh perniagaan.

“Ramai yang masih bimbang dan ini ekoran tiada kesedaran dan pengetahuan. Sesetengahnya mungkin tidak mempunyai sumber kewangan untuk mengguna pakai amalan yang perlu bagi mempermudah kemasukan mereka dalam dunia digital,” katanya.

Beliau berkata, Pelan Fiberisasi dan Sambungan Negara (NFCP) yang dilancarkan tahun lalu dengan tujuan menyediakan perkhidmatan jalur lebar teguh, pantas serta murah kepada rakyat, disasar meliputi sekurang-kurangnya 98 peratus kawasan berpenduduk utama dengan kelajuan internet paling tidak 30 Megabait sesaat, menjelang 2023.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :