BERITA UTAMASELANGOR

MoU Invest Selangor, UMW Development promosi UMW HVM Park bidang aeroangkasa

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG, 25 FEB: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) dan UMW Development Sdn Bhd (UMW Development) hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) sempena program ‘Town Hall Selangor Aerospace Action Plan’ di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, Jalan Lapangan Terbang Subang di sini.

Majlis menandatangani MoU itu menyaksikan Ketua Pegawai Eksukutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris bersama Presiden UMW Development Sdn Bhd, Dr Wafi Nazrin Abdul Hamid menandatangani dokumen perjanjian sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Kim.

Objektif utama Mou ini bertujuan membantu mempromosikan kawasan perindustrian ‘High Value Manufacturing Park’ (UMW HVM Park) milik UMW Development Sdn Bhd yang terletak di Serendah.

Kawasan perindustrian itu adalah khusus bagi penempatan indsutri berteknologi tinggi dan salah satunya aeroangkasa.

Invest Selangor dalam kenyataan berkata, sebagai pihak bertanggungjawab pemudah cara dalam urusan berkaitan pelaburan di dalam Selangor bagi pelaburan sedia ada dan berpotensi, mereka menyokong penuh segala usaha pembangunan bakal menjana ekonomi serta meningkatkan pelaburan di Selangor khasnya, Malaysia amnya.

“Projek ini juga akan meningkatkan bilangan peluang pekerjaan bagi rakyat di Selangor pada masa hadapan. Invest Selangor juga akan terus berusaha untuk mewujudkan persekitaran kondusif dalam mewujudkan rangkaian baharu, perkhidmatan dan insentif berpatutan seperti disediakan Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) seterusnya mempamerkan kepada dunia ‘Selangor The Golden State of Malaysia,” katanya.

Bagi Presiden UMW Development, Dr Wafi Nazrin, pihaknya berasa bertuah di atas kejayaan memetrai MoU bersama Invest Selangor bagi mempromosikan UMW HVM Park yang terbuka menerima pelabur khusnya dalam bidang aeroangkasa.

Beliau berkata, setakat ini tumpuan pembangunan menjurus di bahagian selatan tanah seluar 860 ekar yang telah dimulakan sejak dua tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.

“UMW telah beroperasi di sana menerusi pembuatan enjin kapal terbang untuk Rolls Royce. Impian kami adalah mewujudkan satu ekosistem membolehkan pemain industri aeroangkasa bersama berkongsi idea serta pembuatan untuk menghasilkan produk terbaik.

“Kami juga sedang berbincang dengan beberapa pelabur daripada luar negara yang datang ke sini untuk membuka pernaiagaan berkaitan aeroangkasa,” katanya.


Pengarang :