SELANGOR

Calon PAKATAN tekad tangani masalah kesesakan jalan raya Semenyih

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEMENYIH, 25 FEB: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Muhammad Aiman Zainali mahu masalah kesesakan jalan raya di pekan Semenyih diatasi secepat mungkin sekiranya berjaya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, kali ini.

Katanya, beliau seringkali mendengar keluh kesah rakyat itu ketika berkempen sepanjang 10 hari lalu.

“Sekiranya menang, saya akan bekerjasama lebih rapat dengan pihak bertanggungjawab untuk selesaikan masalah kesesakan yang berlaku di jalan besar di sini.

“Pada masa sama, saya juga memahami kesesakan ini terus berlaku saban tahun memandangkan Semenyih semakin berkembang pesat apabila pembinaan rumah semakin bertambah,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, Muhammad Aiman berkata, Semenyih kini menjadi pilihan ramai untuk menetap dan membeli rumah berikutan harganya yang mampu dimiliki.

Katanya, ketika ini terdapat lebih 50 taman perumahan di sekitar Semenyih dan permintaan tinggi terhadap hartanah menyebabkan ianya tumbuh bak cendawan.

“Ini juga menyebabkan tempat ini dipenuhi dengan orang ramai, antara cadangan awal yang mungkin dapat mengatasi masalah ini ialah memperbanyakkan Bas Smart Selangor.

“Selain dijangka mampu mengatasi kesesakan dan mengurangkan penggunaan kenderaan, tahap kebersihan alam sekitar di sini juga dapat dipertingkatkan,” katanya.

PAKATAN sebelum ini mempertaruhkan Muhammad Aiman, anak muda yang juga anak jati Semenyih untuk terus menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Muhammad Aiman, 30, bapa kepada seorang anak, kini bertugas sebagai seorang jurutera dan juga Bendahari BERSATU bahagian Hulu Langat.

Beliau memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), kini sedang menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang sama.


Pengarang :