SEMENYIH, 23 Feb — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (empat, kanan) bersama Calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali (dua, kanan) beramah mesra bersama pelajar kumpulan caklempong selepas melancarkan Pusat Komuniti dan Tempat Rekreasi Taman Pelangi Semenyih sempena program turun padang membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih hari ini. PRK bakal diadakan 2 Mac ini berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.?Muhammad Aiman akan berdepan dengan Zakaria Hanafi (Barisan Nasional); Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas Kuan Chee Heng. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

PAKATAN sentiasa berusaha tunai janji

SEMENYIH, 23 FEB: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sentiasa berusaha untuk menunaikan setiap janji, walaupun berdepan pelbagai kekangan sejak mengambil alih pentadbiran negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, janji PAKATAN sewaktu menjadi pembangkang, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, ditawarkan tanpa menyedari keruncingan masalah yang akan diwarisi selepas membentuk kerajaan.

“Sekarang kita ditempelak. Kita mahu tunaikan janji sedaya upaya, (tetapi) apakan daya kita warisi (masalah) daripada kerajaan (terdahulu yang berkuasa) 60 tahun.

“Kita baru sembilan bulan (membentuk kerajaan) bagilah kita peluang,” katanya kepada pemberita, lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan gotong-royong, di Surau Istiqamah Seksyen 6, Bandar Rinching, di sini hari ini, sempena program turun padang membantu kempen calon PAKATAN, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Hadir sama, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali.

Pada masa sama, katanya, apa yang ditawarkan parti itu sewaktu PRU14 bersifat menyeluruh bagi memperbaiki keadaan negara dan meningkatkan ekonomi.

Bagaimanapun, katanya, sebarang janji yang dibuat perlu mengambil kira aspek kemampuan untuk melaksanakannya.

PRK Semenyih bakal menyaksikan Muhammad Aiman berdepan cabaran daripada Zakaria Hanafi (Barisan Nasional); Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.

 


Pengarang :