NASIONAL

Remaja maut tercampak keluar dari kereta

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Seorang remaja perempuan maut, manakala lima yang lain cedera termasuk dua parah apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbabas, lalu terbalik di Jalan Sungai Besi, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian pada jam 5 pagi itu membabitkan sebuah Toyota Innova yang dinaiki tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 16 dan 25 tahun.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, mangsa, Chin Xin Qi, 16, mati di tempat kejadian setelah tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki itu.

Beliau berkata, Chin bersama empat rakannya tercampak keluar dari kenderaan, manakala seorang lagi tersepit di tempat duduk belakang.

Mangsa yang parah terdiri daripada dua lelaki, manakala seorang lagi lelaki dan dua wanita cedera ringan.

Kesemua mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan jam 6.13 pagi dan operasi tamat sepenuhnya, pada jam 6.31 pagi,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata, dua jentera bersama 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan, pada jam 5.22 pagi.

 


Pengarang :