NASIONAL

Rina: Nilai kualiti menteri, timbalan dari aspek mutu kerja

SERDANG, 9 FEB: Kualiti seseorang menteri atau timbalan menteri perlu dinilai berdasarkan hasil kerja di kementerian, bukannya tertumpu kepada isu lain yang sengaja disensasikan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, dalam era dunia tanpa sempadan, setiap orang bebas menyuarakan pendapat walaupun ada ketikanya ia tidak seperti digambarkan terutamanya di media sosial.

“Pada saya, kualiti dan nilai integriti seseorang menteri atau timbalan menteri lebih perlu dilihat kepada hasil kerjanya dalam memacu sesebuah kementerian.

“Sebab itu, saya tidak kisah kalau latar belakang pendidikan saya dicari, digeledah atau didedahkan kerana sumbangan dalam memacu kementerian adalah paling utama,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Karnival Sukan Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (Ansara) ke-19 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan warganet mula memeriksa latar belakang pendidikan pemimpin Pakatan Harapan (PAKATAN) susulan isu pertikaian status akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, yang dikatakan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Cambridge, England.

Marzuki kemudiannya menjelaskan ijazah terbabit adalah dari Universiti Antarabangsa Cambridge yang berpusat di Amerika Syarikat selepas aktivis politik membuat laporan polis mendakwanya menipu.

Bagaimanapun, penjelasan itu terus mengundang kecaman kerana Universiti Antarabangsa Cambridge, Amerika Syarikat itu didakwa adalah ‘kilang’ mengeluarkan sijil pendidikan tidak sah termasuk boleh dibeli.

Mengulas lanjut, Rina berkata, beliau tidak gusar dengan tindakan warganet kerana institusi pendidikan dan ijazah dipegangnya adalah tulen dan diperakui umum.

“Saya tidak ada masalah dengan perkara itu, malah gambar saya juga keluar di majalah universiti tempat saya belajar,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Perbankan dan Pengurusan Kewangan dari Northwood University, Michigan, Amerika Syarikat.

Anggota Parlimen Titiwangsa itu juga adalah pemegang Diploma Pengajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Berhubung Ansara, Rina berharap dengan keahlian seramai 12,000 orang, alumni MRSM itu dapat terus memainkan peranan membantu kementerian, khususnya dalam memberi motivasi kepada pelajar di bawah kelolaan MARA dan melatih usahawan dalam kalangan penduduk luar bandar.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :