SELANGOR

Srikandi KEADILAN perlu miliki hala tuju dan matlamat jelas

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 9 FEB: Srikandi KEADILAN perlu mempunyai hala tuju dan matlamat yang jelas bagi menggambarkan watak penting dimainkan mereka dalam parti politik terpenting di negara ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, Amirudin Shari berkata, mereka harus kreatif dalam menyemarak minat wanita muda terhadap politik dan KEADILAN.

“Srikandi KEADILAN harus ‘pick up the baton’ dan memfokuskan usaha merekrut serta memberdayakan golongan wanita muda di Malaysia.

“Saya yakin dengan program Semarak Srikandi dan inisiatif seperti Girl2Leader akan berjaya menarik minat wanita muda di Malaysia dalam meningkatkan ‘young women participation in politics’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi Tea Pimpinan KEADILAN Bersama Srikandi KEADILAN, di Hotel Empire, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Dr Daroyah Alwi; Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Elizabeth Wong.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata, KEADILAN juga harus mengorak langkah dalam memastikan agenda pemberdayaan wanita muda diangkat sebagai matlamat utama.

Katanya, agenda pemberdayaan wanita di Selangor diangkat sebagai polisi utama Kerajaan Negeri dengan mengangkat suara wanita di peringkat pembuat keputusan.

“Selangor menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang memenuhi kuota 30 peratus penyertaan wanita dalam pembuat keputusan iaitu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Dalam perlembagaan parti, KEADILAN menetapkan kuota 30 peratus wanita dalam kepimpinan parti. Ini adalah ‘unprecedented’ dalam sejarah penubuhan parti politik di Malaysia,” katanya.


Pengarang :