NASIONAL

Tiada unsur sabotaj, RTM hanya patuhi SOP

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjelaskan tidak wujud sebarang unsur sabotaj ketika liputan siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan yang diadakan di Seremban, Negeri Sembilan, Ahad lalu.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, ia sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) RTM iaitu apabila Perdana Menteri hadir di sesebuah majlis rasmi hanya ucapan beliau sahaja akan disiarkan secara langsung.

Katanya, tindakan menyalahkan RTM kerana tidak menyiarkan ucapan seorang menteri dan Menteri Besar Negeri Sembilan adalah tidak wajar, memandangkan Perdana Menteri turut hadir dan berucap pada majlis berkenaan.

“Walaupun wujud SOP ini, masih ada ruang bagi penganjur sesebuah acara untuk berbincang dengan RTM bagi membuat perubahan kepada perkara yang perlu disiarkan secara langsung di sesuatu acara.

“Ia termasuk memberikan liputan secara langsung bagi individu lain, lebih daripada apa yang tertera dalam SOP, berdasarkan nilai berita bagi sesebuah acara itu.

“Namun, malangnya dalam kes ini, tiada permintaan sedemikian dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perjumpaan Menteri bersama Media anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di Hotel Sheraton Imperial, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, tindakan RTM itu amat tepat dan ia tidak sepatutnya dijadikan sebagai satu isu.

Katanya, beliau turut dimaklumkan bahawa acara siaran langsung itu dilakukan dengan persetujuan penganjur iaitu Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia.

“Saya juga tidak akan teragak-agak untuk memberi teguran kepada sesiapa pun, dengan niat untuk memperbaiki perkhidmatan kami di RTM.

“Namun, dalam hal ini, saya tidak rasa RTM melakukan kesalahan malahan apa dilakukan mereka bertepatan dengan yang sudah diatur bersama penganjur dan SOP,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan Pakatan Harapan mengalu-alukan semua kritikan membina, malah hak mengkritik dan mendapatkan penjelasan daripada kerajaan yang memerintah adalah hak semua rakyat.

Terdahulu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan, mendakwa RTM cuba mensabotaj kerajaan susulan stesen TV itu tidak menyiarkan ucapan Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan di Seremban.


Pengarang :