NASIONAL

Kerajaan teliti wujud RUU kekang salah guna media sosial

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Kerajaan sedang meneliti untuk mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) atau Jawatankuasa Parlimen bertujuan mengekang penyalahgunaan media sosial sehingga mencetus fahaman berbaur kebencian.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, RUU itu perlu wujud berikutan penyebaran maklumat palsu kini dilihat terlalu meluas sehingga berisiko mencetus kekacauan.

“Kerajaan sedang meneliti beberapa cadangan antaranya mahu mewujudkan industri bagi memeriksa dahulu sesuatu laporan sama ada fakta atau tidak sebelum ia dilaporkan.

“Bagaimanapun, untuk RUU ini dilaksanakan mengambil sedikit masa dan apabila selesai kita akan membuat pengumuman pada sidang media akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perjumpaan Menteri bersama Media anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di Hotel Sheraton Imperial, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail dan Penasihat Media dan Komunikasi Pejabat Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin.

 


Pengarang :