Anthony Loke Siew Fook
NASIONAL

Tiga syarikat tambah penerbangan tambang rendah sempena Tahun Baharu Cina

SEPANG, 1 FEB: Tiga syarikat penerbangan tempatan menambah sebanyak 376 penerbangan lewat malam pada tambang rendah bagi tempoh antara 30 Januari dan 12 Februari bersempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, syarikat penerbangan terbabit, Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air turut berikrar menambah kapasiti 64,382 tempat duduk membabitkan 14 laluan khusus ​​​​​bagi memenuhi permintaan destinasi popular seperti Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Sibu dan Miri.

“Tahun lalu, kerajaan telah meminta Suruhanhaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) melakukan kajian terhadap tambang penerbangan yang mahal (dikenakan syarikat penerbangan) ketika tempoh puncak perjalanan di negara ini dan mencari pilihan bagi tawaran harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelepasan penerbangan tambahan AirAsia sempena Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) di sini, malam tadi, lapor BERNAMA.

Mengulas selanjutnya, Loke berkata, semua tambang bagi penerbangan tambahan lewat malam itu berkurangan sebanyak 25 peratus berbanding tahun lalu.

“Bagi laluan AirAsia Kuala Lumpur-Sibu misalnya, tambang tahun lalu kira-kira RM1,000 tetapi tahun ini, kerajaan telah bersetuju dengan tambang rendah RM149 untuk semua tempat duduk.

“Ini adalah inisiatif kami bagi meringkan kos sara hidup,” katanya.


Pengarang :