KUALA LUMPUR, 11 Mac — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah ucapan Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

Agong seru semua pihak junjung Keluhuran Perlembagaan

OLEH AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Semua pihak diseru menjunjung Keluhuran Perlembagaan, terutama yang menyentuh sistem demokrasi berparlimen, Raja Berperlembagaan dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi, namun bebas mengamalkan agama lain serta Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pelbagai usaha turut dilakukan untuk memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum, di negara ini.

Baginda bertitah, seruan perpaduan hendaklah tidak tinggal sebagai slogan semata-mata, sebaliknya semangat dan usaha ke arah itu perlu disuburkan dengan ikhlas serta dihargai.

“Tindakan tegas hendaklah diambil terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.

“Beta percaya kedudukan Islam sebagai agama persekutuan perlu difahami sedalam-dalamnya oleh setiap warganegara tanpa mengira bangsa dan agama.

“Islam bukan sekadar sebuah agama yang eksklusif untuk kumpulan tertentu, malah ia adalah cara hidup universal dan membawa rahmat buat sekalian alam,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14, di Parlimen di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menyokong usaha kerajaan mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan ‘rahmatan lil alamin’ dan maqasid syariah berdasarkan ajaran Islam sebenar.

Baginda bertitah, ia diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat Malaysia yang seterusnya menjadi model Malaysia, iaitu model negara Islam berbilang kaum yang boleh dicontohi dunia luar.

“Dalam memperkukuh ajaran Islam di negara ini, agama lain perlu dihormati demi keharmonian serta kesejahteraan hidup kita semua,” titah baginda.

Pada masa sama, Seri Paduka turut menyentuh pengaruh media terutama penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab yang boleh mengancam nilai murni berlandaskan agama dan prinsip moral masyarakat.

“Sungguhpun kerajaan beta meraikan keterbukaan dan kebebasan bersuara, adalah penting ia dipraktikkan dalam lingkungan undang-undang dan norma kehidupan bermasyarakat.

“Pada masa sama, agensi penguat kuasa hendaklah bertindak tegas ke atas sebarang sebaran media sosial yang melanggar undang-undang,” titah baginda.


Pengarang :