BERITA UTAMANASIONAL

AKLEH tawar diskaun 20% sepanjang April

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 MAC: Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menawarkan diskaun tol 20 peratus sepanjang April ini, pada Isnin hingga Jumaat kepada pengguna laluan terbabit.

Pemegang Konsesi Lebuh Raya, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dalam satu kenyataan berkata, pengguna akan menikmati pengurangan kepada RM2 berbanding kadar asal RM2.50.

Katanya, diskaun itu ditawarkan khusus kepada pengguna kenderaan Kelas 1 bermula 5 pagi hingga 8 pagi.

“Tawaran ini diharap dapat membantu mengurangkan kos perjalanan pengguna AKLEH, sekali gus menarik lebih ramai pemandu menggunakan lebuh raya terbabit terutama penduduk dari kawasan Ulu Klang, Bukit Antarabangsa, Taman Melawati, Keramat, Wangsa Maju, Ampang dan sekitarnya.

“Pemberian diskaun ini juga bagi menggalakkan pengguna AKLEH merancang perjalanan bagi mengurangkan keadaan trafik yang sesak di waktu puncak sebelah pagi,” kata kenyataan itu.

Pengguna lebuh raya AKLEH boleh mendapat maklumat lanjut di Twitter @AKLEHtrafik, laman sesawang rasmi www.prolintas.com.my, Facebook Prolintas Highways atau menghubungi talian bebas tol 1-300-88-1012.


Pengarang :