KUALA LUMPUR, 31 Mac — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kiri) melancarkan Food Bank Malaysia Peringkat Parlimen Pandan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Mewah hari ini. Turut sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua, kanan). Program Food Bank Malaysia adalah salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan bertujuan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat selain mengurangkan pembaziran. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah melaksanakan program perintis pertama di Pulau Pinang pada Ogos dah telah dijadikan penanda aras untuk dilaksanakan ke beberapa buah negeri lain seperti Kelantan, Melaka, Johor, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Food Bank Malaysia manfaat 45,850 anggota isi rumah

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Program Food Bank Malaysia yang merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat telah memanfaatkan seramai 45,850 anggota isi rumah sehingga Februari lepas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata program itu yang juga bertujuan mengurangkan pembaziran, turut berjaya menyelamatkan 1,055 tan metrik lebihan makanan.

“Dalam melaksanakan inisiatif ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menghubungkan pihak industri yang mana merangkumi bukan sahaja pasaraya malah pengeluar produk makanan, restoran dan hotel dengan rakan strategik kementerian iaitu Mutiara Food Bank, Food Aid Foundation dan KECHARA Soup Kitchen bagi membantu menyalurkan bantuan kepada golongan sasaran.

“Dengan adanya program Food Bank Malaysia ini, kita ingin memastikan tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang kelaparan”, katanya pada majlis pelancaran program Food Bank Malaysia bagi Parlimen Pandan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Mewah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Anggota Parlimen Pandan berkata program Food Bank di Parlimen Pandan akan digerakkan oleh Rakan Strategik Utama iaitu KECHARA Soup Kitchen dan mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Suara Anak Pandan (Voice of Pandan).

Menurutnya, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mengumpul bahan makanan dari hypermarket dan supermarket yang terlibat dan mengagihkannya seminggu sekali kepada kumpulan sasar kawasan Parlimen Pandan, dengan jumlah penerima yang didaftar pada masa ini melebihi 200 orang.

Antara pasar raya terbabit adalah Tesco, Econsave, The Store, NSK dan SEGI, katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata KPDNHEP melaksanakan projek perintis pertama bagi program itu di Pulau Pinang pada Ogos 2018.

Beliau berkata hasil kejayaan program perintis itu dijadikan penanda aras untuk dilaksanakan di beberapa negeri lain seperti Kelantan, Melaka, Johor, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Susulan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 15 Februari 2019, Dr Wan Azizah berkata kerajaan memutuskan untuk meluaskan Program Food Bank Malaysia ke semua institusi pengajian tinggi yang bertujuan menangani kos sara hidup yang dihadapi mahasiswa yang kian meningkat.

Food Bank Malaysia yang diterajui KPDNHEP dilancarkan di Pulau Pinang pada 22 Disember lalu menyasarkan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) termasuk pelajar universiti awam. Menerusi program itu, lebihan makanan diperoleh terutama daripada pasar raya besar seperti roti, sayur dan buah-buahan diagih kepada mereka yang memerlukan. -BERNAMA


Pengarang :