JOHOR BAHRU, 11 Mac — CEMAS … Beberapa murid-murid SK Taman Pasir Putih yang mengalami simptom sesak nafas akibat terbau bahan kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim hari ini. SK Taman Pasir Putih dan SMK Pasir Putih digemparkan dengan kejadian pelajar dan kakitangan sekolah sesak nafas selepas beberapa jam sesi persekolahan bermula selepas sekolah bercuti selama dua hari. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

Ambil tindakan tegas terhadap individu cemar Sungai Kim Kim

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 MAC: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang membuang sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

Pengerusinya, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, pihaknya melahirkan simpati terhadap kejadian yang menimpa kanak-kanak, pelajar sekolah dan orang awam sekitar Pasir Gudang serta Masai, Johor kerana terpaksa menghidu bahan kimia dibuang individu tidak bertanggungjawab.

“Kami sedih melihat keadaan pelajar yang tular melalui media sosial Viral Media Johor apabila mereka terpaksa dibawa ke hospital akibat terhidu bahan kimia itu.

“Malah, kejadian ini amat serius kerana bahan kimia yang dilepaskan adalah sejenis racun yang boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan kematian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Serantau Muslim turut difahamkan keadaan hospital berdekatan menjadi sesak kerana ambulans tidak henti-henti membawa mangsa untuk mendapatkan rawatan segera, pada setiap masa.

“Kami mencadangkan supaya pihak berkuasa mengisyhtiharkan perintah berkurung dan membawa kesemua penduduk terjejas ke daerah yang selamat.

“Serantau Muslim bersedia membantu mangsa terjejas dengan menyediakan kit kesihatan seperti topeng muka dan pencuci tangan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan sejumlah 506 orang dirawat akibat terhidu kimia itu dengan sembilan daripadanya ditahan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail.


Pengarang :